Pembentukan Empayar Melayu Sebelum dan Selepas Kedatangan Islam


Disediakan oleh: 
Nor Amirah bt Mat Yusoff
Nur Arinah Aiman bt Majuman 

 1.0 PENGENALAN
Masyarakat Melayu sudah bertapak di kawasan Asia Tenggara sekurang-kurangnya 5000 tahun dahulu. Asas kepada kemunculan tamadaun dan sususan masyarakat kompleks dibentuk dengan penguasaan teknologi pertanian yang berteraskan tempat tinggal tetap sepanjang tahun dan pertanian tetap untuk menghasilkan makanan yang mencukupi sepanjang tahun. Setelah itu, penguasaan teknologi ini terus berkembang sehingga membentuk penguasaan teknologi maritim di lembah sungai.
Berdasarkan bukti arkeologi, kerjaan Melayu telah wujud seawal 2500 tahun dahulu di Lembah Bujang, Kedah Tua dan di Kuala Selinsing, Perak. Pada waktu itu terdapat pelabuhan-pelabuhan yang mengendalikan perdagangan jarak jauh yang melalui selat Melaka. Secara umumnya, perdagangan jarak jauh dikuasai oleh pemimpin sesebuah kerajaan, satu lagi petanda kewujudan susunan masyarakat kompleks. Antara nilai dalam tamadun Melayu yang berteraskan kepada aktiviti ekonomi perdagangan, ialah kebolehan untuk berinteraksi dengan masyarakat luar, bersifat terbuka, menghormati undang-undang tempatan, dan mengambil kira pandangan orang lain.

2.0 PEMBENTUKAN EMPAYAR MELAYU SEBELUM KEDATANGAN ISLAM
Kerajaan-kerajaan Melayu sebelum kedatangan Islam terbahagi kepada dua bentuk. Pertama, kerajaan berbentuk agraria yang menjadikan kegiatan pertanian sebagai latarbelakang ekonomi negara. Antaranya ialah empayar Funan dan kerajaan Angkor di Tanah Besar Asia Tenggara serta kerajaan Majapahit di Jawa.
Seterusnya, fasa kedua dalam pembentukan kerajaan melayu ialah kerajaan berbentuk maritim yang menjadikan kegiatan perdagangan laut sebagai latarbelakang ekonomi negara. Kerajaan demikian memiliki sebuah atau beberapa buah pelabuhan entrepot. Pelabuhan entrepot memainkan peranan yang sangat penting sebagai pusat persinggahan para pedagang, pengumpulan dan penyebaran barangan dari Barat ke Timur dan sebaliknya. Melalui peranan pelabuhan entrepot ini, pusat-pusat demikian menjadi pintu masuk pengaruh asing yang melahirkan interaksi antara tamadun. Antaranya ialah empayar Funan yang telah berkembang menjadi kerajaan maritim, kerajaan Srivijaya, kerajaan Kedah Tua dan kerajaan Langkasuka.
Secara umumnya, menurut sejarah, dua empayar Melayu yang besar dan merangkumi kawasan yang luas ialah Empayar Funan dan Empayar Srivijaya. Kedua-dua empayar ini menguasai laluan perdagangan di kawasan mereka.

2.1 KEPERCAYAAN EMPAYAR MELAYU SEBELUM KEDATANGAN ISLAM
Pada awalnya, sebelum kerajaan Melayu mula dibentuk dan sebelum kedatangan islam, masyarakat melayu mengamalkan kepercayaan Animisme yang berkaitan jiwa dan roh. Dalam kepercayaan ini mereka telah menganggap benda-benda ghaib mempunyai semangat dan kuasa. Sehubungan dengan itu, wujudlah pemujaan atau penyembahan kepada batu-batu, pokok-pokok, sungai-sungai dan fenomena alam yang lain. Kuasa ghaib itu disifatkan sebagai hantu, jembalang atau jin yang menjadi penunggu objek tersebut (Haron Daud, 1989 : 26). Selain itu, upacara yang melibatkan makhluk ghaib dilakukan oleh perantara atau orang tengah yang dikenali sebagai bomoh atau pawang yang akan menghubungkan manusia dengan makhluk ghaib. Malahan, khidmat bomoh sering kali diminta untuk mengubati keuzuran atau sakit yang menimpa salah seorang anggota masyarakat.
Setelah itu, kerajaan-kerajaan Melayu awal telah menerima pengaruh Hindu-Buddha seperti yang dapat dilihat pada monument keagaaman. Sebagai contoh, candi di Lembah Bujang, candi Borobodur di Jogjakarta, dan Angkor Wat di Kemboja. Hal ini demkian kerana, kedatangan pengaruh ini dikaitkan dengan wujudnya aktiviti perdagangan yang pesat antara India dengan alam Melayu. Para pedagang ini dikatakan telah mebawa bersama-sama mereka para Brahma (sami) lalu menjalinkan hubungan dengan golongan pemerintah Melayu. Konsep atau idea Hindu-Buddha tentang pemerintah telah menarik minat golongan pemerintah agar dapat dijadikan alat untuk mengesahkan kedudukan politik mereka. Kerajaan Funan merupakan negeri pertama yang menerima pengaruh kebudayaan India (Hindu- Buddha), sejak kurun pertama Masihi. 
Candi Lembah Bujang

Candi Borobodur

Candi Angkor Wat 

Ajaran agama Hindu-Buddha pada dasarnya hanya mementingkan aspek-aspek upacara dan pendewaan kepada dewa-dewi demi kepentingan golongan masyarakat atasan sahaja. Masyarakat umum pada ketika itu masih lagi kekal dengan kepercayaan warisan atau Animisme.  

2.2 SISTEM PEMERINTAHAN SEBELUM KEDATANGAN ISLAM
Sistem pemerintahan sebelum kedatangan Islam adalah berteraskan ajaran Hindu. Setelah menerima agama Hindu, para pemimpin menukar nama mereka kepada nama Hindu dan diterima dalam kalangan kasta ksatria lalu menggunakan gelaran raja. Dalam ajaran tersebut, raja dianggap sebagai dewa yang mempunyai kuasa ghaib dan wajib disembah sebagai Tuhan atau salah satu dewa, Syiva dan Visynu. Penekanan ini diberikan kepada kultus Tuhan-Raja atau dewaraja. Keadaan ini telah melahirkan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bagi daripada lapisan masyarakat. Rakyat biasa bukan sahaja menjadi hamba dalam aspek pemerintahan dan politik, malah juga dalam semua aspek seperti nikah - kahwin.  Secara logiknya dunia ini tidak boleh dipimpin dan diperintah oleh banyak tuhan kerana jika demikian, sudah pastilah dunia ini menjadi huru-hara dan kelam-kabut lantaran akan berlaku percanggahan pendapat dan perintah di kalangan tuhan yang banyak itu.

2.3 STRUKTUR SOSIAL SEBELUM KEDATANGAN ISLAM
Di samping itu, struktur sosial dalam empayar Melayu pada ketika itu juga telah mengamalkan ajaran Hindu seperti sistem kasta yang telah membezakan antara golongan atasan dan golongan bawahan seperti golongan Brahmin, Ksyatria, Vaisya, dan Sudra.

Bahkan pula, menurut Taib Osman, dengan kedatangan pengaruh agama ini, struktur sosial yang berdasarkan penempatan satu-satu tempat, kumpulan yang bersendikan kekeluargaan, kekuasaan berdasarkan umur, corak ekonomi secukup hidup, dan kepercayaan kepada makhluk halus mengalami perubahan. Struktur sosial sudah mula berlapis-lapis, dengan lapisan ini bukan lagi didukung oleh benda yang dapat dilihat seperti umur, kekuatan atau kekayaan, tetapi oleh konsep yang cuma dapat difikirkan seperti konsep dewaraja.
Oleh hal yang demikian, kesan daripada sistem ini telah menyebabkan ketidakadilan dari segi cara hidup masayarakat di mana golongan atasan telah menindas golongan bawahan. Dalam erti lain, halangan sosial ini menjadikan peningkatan mobiliti sosial sukar berlaku kerana kepentingan hanya diberikan kepada keturunan atau kebangsawanan individu. Berasaskan sistem sosial yang mengiktiraf perbezaan darjat tersebut, maka lahirlah undang-undang dan adat istiadat yang bertujuan menjaga taraf dan kepentingan golongan atasan.

2.4 SISTEM PENDIDIKAN SEBELUM KEDATANGAN ISLAM
Sebelum kedatangan Islam, sistem pendidikan pada era empayar Melayu tidak teratur dan terdapat banyak golongan buta huruf dikalangan masyarakat. Sistem pendidikan sebelum kedatangan Islam terbahagi kepada dua sistem iaitu sistem formal dan tidak formal.
Sistem formal ialah pendidikan yang dipelajari oleh guru dan kitab-kitab yang tidak berlandaskan Islam. Manakala, sistem pendidikan tidak formal merupakan pendidikan yang berlangsung dalam kehidupan bermasyarakat. Setiap ilmu tersebut diperturunkan daripada generasi turun temurun dan dijadikan sebagai tradisi warisan untuk kehidupan mereka.
Secara keseluruhannya, pendidikan sebelum kedatangan Islam berteraskan semula jadi dengan kehidupan seharian dan juga adat resam yang menjadi ikutan sesebuah masyarakat. Pendidikan lisan disampaikan melalui lisan secara turun temurun dan generasi ke satu generasi.

3.0 TEORI KEDATANGAN ISLAM
      3.1 TEORI DARI TANAH ARAB
Sejarah kedatangan Islam ke Alam Melayu sangat berkait rapat dengan hubungan dagang yang terjalin dengan tanah Arab sejak sebelum orang Arab sendiri memeluk agama Islam. Walaupun penyebaran agama Islam ke Alam Melayu dipelopori oleh pemerintahan kerajaan Bani Umaiyah. Namun Islam telah sampai ke Alam Melayu lebih awal lagi. Menurut catatan sejarah, bangsa Arab yang menduduki selatan Semenanjung Tanah Arab yang mengharungi lautan Hindi sebelum kemunculan agama Islam. Mereka menjadi orang tengah antara pedagang Eropah dengan pedagang Asia dari India dan barat rantau Melayu. Walaupun pada akhir abad ke-5 hingga ke-7 Masehi pedagang-pedagang Rom dan Parsi cuba menguasai perdagangan di lautan Hindi, namun pedagang-pedagang Arab masih dapat meneruskan perdagangan mereka sehingga kedatangan orang Portugis pada akhir abad ke-15.
Menurut John Crowford dalam bukunya ‘History of the Indian Archipelago’ Islam datang ke Nusantara dari Tanah Arab. Ini dibuktikan dengan catatan ketika pemerintahan Bani Umaiyah dan Bani Abbasiyah pada abad ke-7 hingga ke-10 Masehi, orang Arab Islam telah berada di Nusantara. Mereka mempunyai angkatan laut yang kuat dan menjalankan perdagangan sambil menyebarkan Islam sepanjang perjalanan ke China melalui Nusantara. Dalam catatan dari sumber China, terdapat hubungan perdagangan Arab di perairan Asia Tenggara. Contohnya orang Arab sudah berada di Sumatera pada abad ke-7 Masehi dan telah membina perkampungan di bahagian barat kepulauan tersebut. Zaman Khalifah Sulaiman bin Abd al-Malik (715-717M) telah menghantar sebanyak 35 buah kapal ke muara Salak di Jambi. Kapal ini dikatakan bertolak dari Cyelon menuju ke Palembang pada tahun 717 Masehi, sebelum meneruskan perjalanannya ke China. Meskipun demikian, Islam turut berkembang di Nusantara dengan usaha golongan Syiah di kepulauan Sila dan Sulu, Sulawasi serta Kalimantan.

       3.2 TEORI DARI INDIA
Terdapat teori menyatakan bahawa Islam di Alam Melayu datangnya daripada India. Teori ini dikemukakan oleh Snauck Hugronje dan Brian Harisson, mereka berpendapat kedatangan Islam di Alam Melayu dilakukan oleh para pedagang Islam yang bermukim di Gujerat dan Malabar. Teori ini diperkuatkan lagi dengan penemuan batu nisan di Pasai yang bertarikh 1428M dan di Gerisik yang bertarikh 1419M oleh G.P. Morquette. Bentuk fizikal kedua-dua batu nisan ini mempunyai ciri persamaan dengan batu nisan di Gujerat. Realiti ini membawa pada kesimpulan sejarah oleh sejarawan iaitu Islam sampai ke Alam Melayu pada awal kurun ke-15M. Teori bahawa kedatangan Islam di Alam Melayu datangnya dari Bengal, Coromandel, India diutarakan oleh S.Q Fatimi, Snauck Hugronje, J.P. Morquette dan G.E Marison. Di mana menurut S.Q Fatimi kedatangan Islam ini dilakukan oleh para pedagang dari sana. Bengal lebih awal menerima Islam berbanding Gujerat dan Malabar.
Oleh sebab itu, proses islamisasi Alam Melayu itu dilakukan oleh wilayah yang lebih awal menerima Islam ini. Menurut S.Q Fatimi, para pedagang Bengal ini bermazhab Shafie sama dengan mazhab umum di Alam Melayu. Secara emperikal, mustahil pedagang Gujerat dan Malabar bertanggungjawab membawa Islam ke Alam Melayu kerana mazhab yang dianuti mereka adalah mazhab Hanafi, manakala Alam Melayu bermazhab Shafie. Namun teori permulaan Islam sampai ke Tanah Melayu pada abad ke-13 adalah lemah. Berdasarkan bukti yang ada, Islam telah bertapak seawal abad ke-7 atau abad ke-8 Masehi lagi. Di mana kewujudan para pedagang dan pendakwah dari India juga turut berperanan dalam mengembangkan Islam di Alam Melayu.

3.3 TEORI DARI CHINA DAN CHAMPA 
Hubungan perdagangan antara Arab dan China dicatatkan telah berlaku sebelum kelahiran agama Islam lagi di Tanah Arab. Hubungan perdagangan ini secara tidak langsung telah mewujudkan hubungan dengan kepulauan Melayu. Teori kedatangan Islam di Alam Melayu dari China diketengahkan oleh Syed Muhammad Naquib alAttas. Menurut beliau, pada zaman pemerintahan Dinasti Tang iaitu pada abad ke-7 terdapat seramai 120.000 orang Islam di Canton. Pada Tahun 879 Masehi telah berlaku pemberontakan kaum tani yang mendesak pemerintah mengusir bangsa asing dari bumi Canton. Implikasi tersebut membawa pada penghijrahan para pedagang yang terselamat ke Champa, Kedah Patani, Kedah, Parlembang, Jawa dan lain-lain demi mendapatkan perlindungan. 
Berhubung dengan teori ini juga, terdapat beberapa penemuan sumber artifak atau arkiologi. Antaranya termasuk penemuan batu nisan seorang wali Allah berketurunan Arab di Pekan, Pahang yang bertarikh 1028M di mana atas batu nisan ini terukur ayat-ayat al-Quran dan Batu Bersurat bertarikh 1303M Kuala Berang, Terengganu. Terdapat juga penemuan batu nisan di Leran, Surabaya bertarikh 1082M atau 1102M yang sangat ketara ciri-ciri keislaman pada batu nisan tersebut. Terdapat catatan dalam Dinasti Sung bahawa kedatangan Islam ke Nusantara melalui sepanjang pantai laut China dan dari Tiongkok pada awal tahun 977 Masehi.
Laporan ini menjadi bukti kuat kepada S.Q Fatimi bahawa teori kedatangan Islam itu adalah dari China. Selain teori kedatangan Islam dari China, terdapat juga teori yang mengatakan kedatangan Islam ke Tanah Melayu melalui Champa atau Kemboja. Dalam kurun ke-7 dicatatkan bahawa orang-orang Melayu telah mengadakan hubungan dengan penduduk Champa dan Kemboja melalui penaklukan dan perkahwinan terutamanya kalangan keluarga diraja. Di mana Islam dilaporkan telah berkembang di daerah Phanrang, Champa sejak abad ke-8 Masehi lagi. Teori ini dibuktikan dengan penemuan sebuah batu nisan yang bertulis khat khufi bertarikh 1039 Masehi dan sebuah monumen bertarikh 1025 Masehi dan 1039 Masehi. Di mana pada monumen tersebut, terdapat catatan yang berhubung dengan hukum hakam Islam.

4.0 PEMBENTUKAN EMPAYAR MELAYU SELEPAS KEDATANGAN ISLAM
Sebelum kedatangan agama Islam penduduk-penduduk di Nusantara secara keseluruhannya menganut agama Hindu. Tapi ahli-ahli arkeologis berpendapat masyarakat Melayu dewasa itu sudah pun mempunyai kebudayaan yang tersendiri dan dipengaruhi oleh kebudayaan India dalam beberapa segi. Pengaruh kebudayaan India di Nusantara amatlah besar sehinggakan wujud beberapa buah negeri bercorak Hindu seperti Srivijaya, Funan dan Majapahit. Kedatangan Islam ke Alam Melayu pada awal abad ke-15 telah membawa perubahan yang nyata dalam kehidupan masyarakat Melayu dan pelbagai aspek. Islam mula tersebar di kalangan masyarakat Melayu melaka berikutan Parameswara yang menjadi Sultan Melaka memeluk agama Islam dan menukarkan namanya kepada Megat Iskandar Syah. Pengislaman itu diikuti oleh rakyat secara beramai-ramai sehingga akhirnya melalui usaha-usaha yang gigih Islam dapat dikembangkan diseluruh Melaka. Melaka menjadi sebuah empayar Islam yang disegani di Nusantara.


4.1 KEPERCAYAAN EMPAYAR MELAYU SELEPAS KEDATANGAN ISLAM
Kedatangan Islam ke alam Melayu merupakan detik penting yang telah mengubah secara keseluruhan pemikiran dan budaya orang Melayu. Walaupun kedatangan Islam dilihat secara evolusi dari sudut penyebarannya tetapi dalam aspek kerohanian atau spiritual, agama ini telah merevolusikan mereka.
Revolusi yang dimaksudkan ialah Islam telah mengubah pandangan dunia orang Melayu daripada mempercayai dewa semasa menganuti agama Hindu kepada kepercayaan Allah Maha Esa. Konsep yang utama dan terpernting ialah Tauhid. Konsep ini merupakan konsep ketakwaan kepada Allah dengan berpegang kepada tiadanya autoriti atau kekuasaan selain daripada Allah dan hidupnya berpandukan hukum-Nya sahaja. Konsep ini menjadi cara hidup setiap muslim seterusnya mendorong kepada berlakunya ketamadunan Islam.

4.2 POLITIK SELEPAS KEDATANGAN ISLAM
·         Konsep Raja Hindu bertukar kepada Sultan.
Bertukarnya sistem dan konsep raja dalam agama Hindu kepada sistem dan konsep sultan di dalam Islam. Di dalam politik yang berteraskan agama Hindu, raja dianggap bayangan tuhan ataupun dewata, tetapi di dalam Islam raja adalah manusia biasa yang diberi kemuliaan kerana peranannya sebagai ketua agama dan pentadbir sebagaimana yang dijalankan di dalam sistem kekhalifahan pada masa dahulu. Walaupun sultan tidak dianggap suci sebagaimana raja-raja Hindu, namun sultan dianggap mempunyai daulat dan status yang Iebih tinggi danipada orang kebanyakan.
Kedatangan Islam secara langsung telah memperkenalkan sistem pentadbiran secara kesultanan di rantau ini. Walaupun ini boleh dikatakan tidak banyak bezanya dengan sistem Kerajaan Hindu sebelumnya, tetapi banyak juga terdapat ciri-ciri yang tersendiri. Pemakaian sistem mufti sebagai penasihat hal ehwal agama Islam khususnya adalah merupakan suatu pembaharuan yang bererti. Malah secara khusus sultan atau raja telah dianggap sebagai khalifah (pengganti Nabi).
·     Agama islam telah menjadi agama rasmi dalam pentadbiran dan undang-undang.
Agama Islam telah menjadi agama rasmi kebanyakan negara dan undang-undang Islam telah dijadikan undang-undang negara. Bermula dari kerajaan Melaka, undang-undang Islam telah bertapak di Kedah, Tenengganu dan negeri negeri lain. Walaupun begitu, pada peringkat awal cara pentadbiran Islam tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya meskipun asas undang-undang Islam telah digunakan. Umpamanya dalam Undang-undang Melaka dan Hukum Kanun Melaka masih terdapat unsur-unsur yang bertentangan dengan Islam.
·        Mewujudkan kefahaman tentang kesedaran tanggungjawab
mempertahankan agama dan negara.
Agama Islam juga menggerakkan umatnya ke arah kesedaran kebangsaan. Islam menganjurkan perpaduan yang utuh di kalangan masyarakatnya. Hasil daripada pengaruh tersebut empayar Islam khususnya di zaman Kesultanan Melaka telah menjadi begitu Iuas dan terkenal. Gerakan Kebangsaan di Malaysia dipeloporkan oleh Syed Syeikh Abdul Hadi, murid kepada Syaikh Muhammad Abduh, yang baru kembali ke tanahair dan Kahirah pada tahun 1904M. Dua tahun kemudian beliau mengeluarkan akhbarnya yang bernama Al-Imam.

Akhbar ini merupakan akhbar Melayu yang pertama sekali mengandungi berita berita politik dan fikiran-fikiran baru yang membentuk ke arah perubahan masyarakat. Tujuannya ialah untuk menganjurkan suatu perubahan sosial melalui agama sepertimana yang dikehendaki oleh agama Islam dan sebagaimana yang berlaku di Timur Tengah pada waktu itu. Perkembangan gerakan ini dapat dilihat selepas itu di mana berkembangnya kelab-kelab, sekolah-sekolah agama, akhbar-akhbar, majalah-majalah yang menyiarkan gerakan-gerakan Islam di seluruh negara. Oleh yang demikian orang Islam di rantau ini merasai sensitif sekali terhadap apa sahaja perkara-perkara yang boleh membawa kepada keruntuhan agama dan bangsa mereka.
·  Penubuhan institusi-institusi islam bagi melicinkan lagi urusan pentadbiran islam dalam kegiatan dakwah, pelajaran, berjual-beli dan sebagainya.
Berikutan dengan tertegaknya pemerintahan yang berlandaskan undang-undang atau ciri-cirl Islam, ia telah memberi kesan kepada penubuhan beberapa institusi, jabatan dan jawatan yang berkaitan dengan Islam. Dari segi jawatan, kadi, arnil, imam dan sebagainya telah di beri peranan tertentu serta penghormatan dalam masyarakat. Selain dari itu Jabatan dan Majlis-majlis Agama Islam telah ditubuhkan bagi melicinkan perjalanan pentadbiran Islam itu sendiri. Sepertimana beberapa institusi pengajian Islam telah dibina untuk meningkatkan taraf pendidikan Islam di sesebuah negara. Hasilnya, wujud beberapa tokoh ilmuan yang terkenal dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan Islam di rantau ini.
Kedatangan Islam telah membantu kepada penubuhan beberapa institusi endidikan di Alam Melayu. Antara pusat pengajian yang penting seperti istana, masjid, madrasah dan pondok.
Istana dalam sejarah keagungan Islam di Alam Melayu telah memainkan peranan yang cukup besar sebagai pusat perkembangan keilmuan kepada anak-anak raja dan golongan pemerintah. Sebagai contoh, Ibnu Batutah, telah mencatatkan istana Pasai pada abad ke 14 telah menjadi pusat perdebatan ilmu yang turut disertai oleh Sultan Malik aI-Zahir yang memerintah ketika itu. Sejarah Melayu juga mencatatkan bahawa Sultan Mansur Syah telah menjadikan istana sebagai pusat pengajian dan sering berguru dengan Maulana Abu Bakar.
Selain daripada istana, masjid dan surau juga berperanan dalam proses penyebaran ilmu di Alam Melayu. Ibnu Batutah dalam pelayarannya mencatatkan bahawa Pasai di Alam Melayu antara tempat yang awal menyebarkan Islam melalui masjid. Biasanya pengajian di masjid dan surau ini adalah dalam bentuk yang tidak formal yang melibatkan pengajian al-Quran. Di samping itu ilmu-ilmu fardhu am seperti fiqh, tasauf, usuluddin, hadis tafsir, faraid dan lain-lain lagi juga diajarkan di masjid.
Seian itu madrasah dan pondok juga teiah berkembang sebagai pusat penyebaran ilmu pengetahuan bersama-sama kehadiran Islam di alam Meiayu. Sistem pengajian bercorak pondok ini dikatakan bermuia di Acheh yang merupakan sistem pendidikan keislaman untuk rakyat. Istilah pondok itu begitu meluas digunakan di tanah Melayu dan pasantren di Jawa. Sistem pondok ini dipimpin oieh guru-guru tertentu, yang mengajar pelbagai ilmu keislaman. Bagi mereka yang berkebolehan, dapat menyambung pengajiannya di Makkah, India atau Mesir. Terdapat beberapa pasantren yang terkenal seperti pasantren Santi Asrami di Jawa, Pasantren Tegalsari yang didirikan pada tahun 1548, dan Pasantren Jasari yang didirikan pada tahun 1648. Manakala di Tanah Melayu sistem pondok ini juga berkembang terutama di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perils dan Pattani. Antara pondok yang terkenal iaiah Pondok Tok Kenali di Kelantan dan Pondok Pokok Sena di Seberang Prai.

4.3 SISTEM PENDIDIKAN DAN KEBUDAYAAN SELEPAS KEDATANGAN ISLAM
·         Mewujudkan sistem pendidikan Islam yang lebih teratur dan lengkap.
Sebelum kedatangan Islam, pendidikan umumnya terhad kepada golongan lstana sahaja. Tetapi setelah kedatangan Islam, pendidikan telah tersebar dengan meluas di kalangan rakyat sesuai dengan prinsip Islam itu sendiri yang menuntut umatnya menimba ilmu pengetahuan setinggi yang boleh. Pada peningkat awal, pendidikan dijalankan secara tidak formal di masjid-masjid dan pondok pondok tetapi kemudian berkembang ke tahap yang lebih formal dengan wujudnya sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian Islam di peringkat tinggi.
Pusat-pusat tersebut secara umumnya lebih meluas cara mengajar dan pelajaran pelajaran yang diajar daripada sekolah ialah Al-Quran. Ia meliputi perkara-perkara yang berhubung dengan agama Islam seperti fiqah, tauhid, akhlak dan bahasa Arab.
·  Pengenalan tulisan jawi telah mempercepatkan lagi kegiatan dalam penulisan sama ada yang berbentuk karya asal ataupun terjemahan.
Hasil perkembangan Islam di Nusantara, orang-orang Melayu telah diperkenalkan dengan tulisan Jawi. Tulisan Jawi bukan sahaja digunakan untuk menulis mengenai perkara-perkara agama sahaja tetapi telah dijadikan tulisan rasmi kerajaan dalam urusan pentadbiran dan sebagainya.
Gelaran “Jawi” bagi huruf-huruf Arab mungkin berkait rapat dengan panggilan Jawi yang digunakan oleh orang Arab terutama di Mekah terhadap bangsa Melayu dan Indonesia hingga ke bari ini. Perkataan Jawi ini ialah kata sifat yang membawa erti “orang Jawa” atau “berasal dan tanah Jawa”. Penulis-penulis Arab dalam zaman klasik termasuk Ibn Batuttah dalam bukunya aI-Rihlah menggelarkan Pulau Sumatera sebagai al-Jawah. Oleh itu, orang Arab merangkum orang Melayu dan Jawa sebagai bangsa Jawi dan tulisan Melayu yang menggunakan huruf Arab itu disebut tulisan Jawi.
·    Mengubah cara hidup Hindu kepada cara Islam seperti cara berpakaian, makanan dan sebagainya.
Berdasarkan kajian terhadap masyarakat Melayu, sudahpun terdapat dasar-dasar kepercayaan, nilai-nilai serta budaya dan adat resam meskipun ianya berbentuk primitive. Walau bagaimanapun, terdapat kajian yang menunjukkan sistem kosmologi tersebut turut dicampuri oleh pengaruh asing terutama daripada tradisi Hindu-Buddha. Fenomena ini dikenali sebagai sinkritisme, iaitu percampuran atau persenyawaan antara unsur-unsur tempatan dengan unsur-unsur asing.
Pengaruh agama Hindu dalam kehidupan dan budaya orang Melayu sangat meluas dan mendalam sekali dan sebahagiannya masih bertapak kukuh daham masyrakat ini. Ia boleh dilihat dengan jelas dalam adat perkahwinan seperti berinai,bersanding sebagai raja sehari dan adat menepung tawar.
Dalam aktiviti seni kebudayaan terdapat persembahan yang berteraskan cerita-cerita dan epik-epik Hindu seperti ayat Mahabrata dan Ramayana. Ianya dipersembahkan dalam seni wayang kulit, ora, persembahan puteri, dan sebagainya. Seni-seni kebudayaan seperti ini banyak khususnya di negeri Kelantan dan negeri-negeri pantai timur sahaja dan sebelah utara Semenanjung. Bahasa pertuturan, ukiran-ukiran tangan serta seni lukisan di patung-patung wayang kulit, batik, barang-barang tembikar,hiasan-hiasan kayu dan sebagainya ada melambangkan kesenian dan budaya ala Hindu.
Islam telah merubah cara hidup Hindu kepada cara hidup Islam umpamanya dalam soal cara berpakaian yang menutup aurat bagi lelaki dan wanita ada dijelaskan di dalam peraturan Islam, cara adab pergaulan, makanan (mengenai halal dan haram), upacara-upacara yang digalakkan dan tidak digalakkan dan ini telah meninggalkan kesan cara islam walaupun dari aspek yang lain masih diamalkan.
·         Bahasa Melayu berkembang
Dengan kedatangan Islam Bahasa Melayu berkembang menjadi Bahasa ilmu. Ia berkembang menjadi bahasa rasmi dan akhimya menjadi bahasa “Lingua Franca” di Alam Melayu.Tanda terawal kehadiran Islam di rantau ini ialah dengan penemuan Batu Nisan di Brunei pada tahun 440 Hijrah.
Bukti pertama penggunaan Bahasa Melayu yang mengungkapkan pengaruh agama Islam ialah pada tahun 702 Hijrah, berikutan penemuan Batu Bersurat di Terengganu. Kandungannya dengan jelas menunjukkan bahawa Islam sebagai agama rasmi di rantau ini.

Perkembangan Bahasa Melayu dapat dibahagi kepada dua bahagian, iaitu:
i.              Melalui Pertuturan, berlaku interaksi dan campuran antara Bahasa Arab — Melayu menambahkan lagi perbendaharaan kata bahasa Melayu. Kedatangan Islam menyebabkan perbendaharaan kata Arab yang berunsurkan agama digunakan seperti kerusi, kitab, masjid, al-Quran dan lain-lain digunakan sebagai sebahagian dan bahasa Melayu.
ii.            Melalui Penulisan, sebelum kedatangan Islam boleh dikatakan tiada tulisan yang praktis digunakan. Islam membawa satu sistem tulisan menggunakan tulisan jawi atau Arab. Bahasa Melayu kuno yang menggunakan tulisan Palava digantikan dengan huruf jawi.Tulisan jawi digunakan secara meluas di Alam Melayu. Ia menjadi dimensi baru dalam tradisi pengembangan ilmu khususnya ilmu agama dalam masyarakat. Melalui tulisan jawi bidang sastera Melayu mula berkembang.
·       Orang melayu dapat membaca karya-karya terjemahan, hasilnya semangat Islam telah meresap dalam sanubari mereka.
Perkembangan sastera Melayu adalah berasaskan pengislaman masyarakat Melayu. Islam melaksanakan penyebaran Islam secara meluas. Kesusasteraan dapat berkembang dengan pesat dan membawa perubahan yang dinamik kepada perkembangan Islam. Daripada sastera Arab inilah sastera Melayu meminjam banyak perbendaharaan kata dan karya sastera “kitab” yang menyatakan persoalan hukum dan aqidah. Sastera Melayu telah dikaitkan dengan kesusasteraan Islam yang agung seperti Sirah al-Rasul, kisah-kisah para Nabi, Mathnawi dan sebagainya. Sastera merupakan media terbaik menyampaikan dakwah. Sebagai contoh zaman awal Islam karya-karya seperti syair, pidato, atau surat (risalah) digunakan untuk dakwah.
Menurut Syed Qutb, sastera terbahagikan kepada dua iaitu Sastera Islam dan Sastera Musyrik. Sastera Islam ialah sebarang hasil tulisan atau sastera yang berpegang teguh kepada akidah, syariah dan akhlak. Manakala sasterawan dalam Islam ialah mereka yang beriman, bertakwa dan beramal soleh. Adapun Sastera Muysrik ialah sebarang hasil sastera yang bersifat munafik, memuja pemimpin yang zalim, serta mempengaruhi orang lain untuk melakukan kejahatan.
Contoh Karya Melayu-Islam:
·         Bustanus Salatin (Taman segala rajaraja)
·         Taj ai-Saiatin (Mahkota Raja-raja) karangan Sheikh Nuruddin al-Raniri.
·         Hikayat Sultan Ibrahim
·         Hikayat Abu Yazid al Bistari
·         Hikayat Sheikh Abd. Kadir Jailan

4.4 SISTEM EKONOMI EMPAYAR MELAYU SELEPAS KEDATANGAN ISLAM
·      Baitulmal dibentuk sebagai badan menguruskan kewangan Negara.
Terbentuknya satu sistem kewangan di bawah pentadbiran yang dinamakan Baitulmal. Badan ini telah menjadi pusat kewangan bagi orang-orang Islam. Semua hasil yang didapati sama ada dalam bentuk cukai, jizyah dan sebagainya disimpan di Baitulmal. Hasil kutipan ini pula akan digunakan untuk perbelanjaan negara.
·    Orang-orang islam digalakkan menceburkan diri dalam bidang perniagaan yang dibenarkan dalam islam.
           Pninsip-prinsip ajaran Islam telah diperkenalkan dalam bidang perniagaan.                 Orang- orang Islam telah diperkenalkan dengan sistem perniagaan yang dibenarkan             Islam, umpamanya cara timbangan, dilarang rnengamalkan riba, menipu dalam                     perniagaan dan sebagainya. Setiap kegiatan ekonomi diperkenalkan dengan konsep             perlaksanaannya yang betul.
·        Islam menggalakkan umatnya hidup saling bantu-mambantu bagi mengelakkan kemelaratan hidup bagi satu-satu golongan masyarakat.
Islam juga memerintahkan umatnya supaya membayar zakat, menggalakkan sedekah, wakaf dan sebagainya. Semuanya ni bertujuan untuk menggalakkan orang Islam saling bantu-membantu antara satu sama lain. Cara ini akhirnya akan mewujudkan semangat persaudaraan yang lebih erat di kalangan orang-orang Islam.

5.0 KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, sebelum agama Islam bertapak dan berkembang di Nusantara, masyarakat Melayu pada zaman itu menganut fahaman anismisme yang diwarisi dari datuk dan nenek moyang mereka. Seterusnya mereka mengamalkan agama Hindu-Buddha yang merupakan satu fahaman yang amat kompleks dan sukar difahami oleh rakyat bawahan. Namun demikian, agama Islam adalah satu agama yang mudah difahami dan dapat diterima pada akal oleh setiap golongan rakyat, sama ada rakyat atasan atau bawahan tanpa memberatkan diri seseorang penganutnya.
Oleh sebab itu, tidak hairan lah agama Islam mendapat sambutan baik apabila ianya diperkenalkan. Hanya dengan menerima konsep ketuhanan yang esa dan nabi Muhammad sebagai pesuruh-NYA, maka keislaman seseorang itu sudah diterima. Walaupun Islam tidak dapat mengubah keseluruhan aspek kehidupan masyarakat Melayu tetapi pada umumnya ia telah mengubah struktur hidup masyarakat Melayu dari corak kehidupan Hindu-Buddha kepada Islam. Ternyata dengan kehadiran Tamadun Islam telah membawa perubahan yang besar kepada masyarakat Melayu Nusantara dan kesannya kita dapat melihat dalam semua aspek kehidupan seperti politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan sebagainya sehingga kini.

RUJUKAN
Ahmad Zaki Abd. Latiff, Azam Hamzah, Azhar Mad Aros. (2012). Buku teks: Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) – edisi kedua. Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar Sdn Bhd.
Ali Mohammad. (2008). Sumbangan Tamadun Islam Dalam Kehidupan Masyarakat di Alam Melayu Hingga Abad ke-17 M. Diperolah dari: https://s3.amazonaws.com/academia.edu.documents/56190717/Sumbangan_Tamadun_Islam_dalam_Kehidupan_Masyarakat_di_Alam_Melayu_hingga_abad_ke-17M.pdf
Esa Khalid dan Mohd. Azhar Abd. Hamid. (2004). Beberapa Aspek Tamadun Melayu, India, China, dan Jepun. Johor Darul Takzim: Universiti Teknologi Malaysia Skudai. 
Mohd Fadhli Ghani. (2018). Kerajaan-kerajaan Melayu pra-Islam. Diperoleh dari: http://www.harakahdaily.net.my/index.php/berita/15-tanah-air/7051-kerajaan-kerajaan-melayu-pra-islam
Mohd Jamil bin Mukmin. (2014). Sejarah Kerajaan-Kerajaan Islam Secara Ringkas dan Sejarah Melaka Sebagai Pusat Penyebaran Islam Di Nusantara Secara Ringkas. Melaka: Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia.
Osman Bakar, Azizan Baharuddin, dan Zaid Ahmad. (2012). Modul Pengajian Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Zulkiflee Haron & et. al. (2015). Tamadun Islam & Tamadun Asia. Johor Bahru: UTM. 



Comments